Juri terkejut tengok pemenang acar buah terbaik rupa-rupanya Permaisuri Pahang

Seorang juri Pertandingan Masakan Acar Buah tidak menyangka salah satu daripada 11 hidangan yang dinilainya merupakan air tangan Tengku Ampuan Pahang.

Juri yang mempunyai pengalaman selama 39 tahun dalam perjurian pertandingan masakan terkesima saat melihat Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah naik ke pentas saat nama pemenang pertama diumumkan.

Lebih menarik, Tengku Ampuan Pahang rupa-rupanya menggunakan nama samaran ‘Aminah Mahmood’ ketika menyertai pertandingan itu.

“Saya dan semua peserta tidak tahu hidangan tersebut milik Paduka Baginda. Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti.

“Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan-bahan yang cukup sempurna.

“Tidak berminyak tetapi kuah yang bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus. Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan,” kata Hajah Siti Rokiah Lebai Rahmat.

Perkongsian ini dimuat naik di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.

BACA JUGA Ahli AMANAH dinasihat tidak campuri proses pemilihan PKR