Kerajaan peruntuk RM8.5 juta demi biaya pelajar Orang Asli ke IPT

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta tahun ini bagi membiayai pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, sambil memaklumkan peruntukan terbabit dijangka bakal dimanfaatkan kira-kira 500 pelajar Orang Asli.

“Inisiatif ini adalah antara pelaksanaan Dasar Kemajuan Orang Asli yang diperkukuhkan.

Kita mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli berjaya dalam kerjaya profesional seperti guru, jurutera, doktor, pegawai kerajaan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat,” katanya memetik Bernama selepas merasmikan Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI), hari ini.

Usaha ini sejajar agenda kerajaan memperkasa pembangunan modal insan dalam komuniti berkenaan.

Sementara itu, beliau mengingatkan mahasiswa Orang Asli supaya menguasai kemahiran digital, inovasi serta kepimpinan, kerana golongan berkenaan bakal menjadi agen perubahan dalam pembangunan komuniti mereka.

Mengenai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pula, Rubiah memaklumkan bahawa ia masih di peringkat sesi libat urus.

BACA JUGA Pengurus Besar NAFAS ajak rakyat rancakkan kembali pembelian beras tempatan