Kerajaan persekutuan lengahkan SOP perlombongan nadir bumi (REE) di Kedah? Ini jawapan Nik Nazmi
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan tohmahan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelewatan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE) disengajakan dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri SG4.
Beliau menjelaskan bahawa SOP aktiviti adalah di bawah bidang kuasa negeri.
“Berkaitan kenyataan kononnya SOP bagi eksplorasi REE masih belum disediakan, perlu ditegaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
“Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud.
“Tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri adalah satu tohmahan yang tidak tepat.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira mana-mana negeri.
Nik Nazmi turut menjelaskan SOP perlombongan REE sudah pun diedarkan kepada semua kerajaan negeri pada 20 Disember 2023.
“NRES ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Isu ini telah dijelaskan secara terbuka melalui kenyataan media bertarikh 29 Oktober 2024. SOP Perlombongan REE di Malaysia telah disediakan dan diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023. SOP ini merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.
“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. Ia telah disusun untuk membolehkan Kerajaan Negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing.
“Sehubungan itu, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan.”
Nik Nazmi menambah larangan aktiviti perlombongan terhad kepada kawasan hutan simpan kekal, rizab perlindungan dan kawasan sensitive alam sekitar sahaja.
“Kementerian turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan. Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.”
BACA JUGA: HKL, HPP antara hospital awam terbaik di Malaysia menurut Newsweek