Pegawai kanan polis di Kelantan didakwa terima rasuah lebih RM13,000 dari kontraktor
Seorang pegawai kanan polis dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan menerima rasuah babit lebih RM13,000 ketika bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada tahun 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, Asisten Suprintenden Mohd Firdaus Mohamad, 40, didakwa menerima bayaran pengubahsuaian rumah bernilai RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor antara Januari hingga Jun 2018.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 sebagai bayaran pendahuluan bagi pembelian motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys, yang diterima daripada individu sama di IPD Machang pada Januari 2018.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA Aktivis Jabatan Amal pun niaga di kiosk KPKT