Menjelang Pemilihan PKR, ini penegasan Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan kepada semua yang bertanding pada pemilihan parti itu untuk berkempen secara sihat dalam suasana kekeluargaan.
“Kita harus menghentikan siri cercaan dan pergelutan sesama anggota serta mesti kembali kepada jalur untuk merangkul kekuatan secara bersama selain mengangkat nilai dan akhlak yang baik.
“Justeru, KEADILAN perlu terus menjadi contoh dan diteladani dari aspek menggilap serta menghidupkan idealisme.

“Usah kita jerumuskan wadah ini hanya kerana bibit persaingan tatkala kita memerlukan kekuatan dan buah fikiran semua pihak untuk kita hadapi pelbagai tantangan yang merundung dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat PKR Cabang Langkawi dan sesi wacana bersama pimpinan dan anggota petang semalam.
Dalam masa sama, Anwar berkata, PKR mesti muncul dan paculkan sikap yang matang dan berhemah terutamanya dalam usaha dan upaya parti itu mengemudi negara bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan MADANI.
“Mari bersama hidupkan semangat kekeluargaan yang erat, perkuat barisan dan jentera parti dan terus gilap semangat serta idealism,” tambah beliau lagi.
Kongres Nasional PKR 2025 dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada 23 hingga 25 Mei ini.
Lebih 10,000 perwakilan secara fizikal dijangka hadir manakala lebih 20,000 perwakilan secara dalam talian, menjadikannya antara perhimpunan terbesar dalam sejarah parti.
BACA JUGA ‘Renyeh nampak Panglima Perang PN’