Pemilihan PKR: Calon MPP merayu agar kempen pemilihan bermaruah

Seorang calon Majlis Pimpinan Pusat PKR Sivamalar Genapathy merayu secara tulus kepada pemimpin dan penyokong PKR agar kempen pemilihan berlangsung secara bermaruah atas dasar perpaduan.

Berikut adalah rayuannya:

Sebagai seorang pimpinan akar umbi parti yang membesar dengan semangat perjuangan Keadilan dan sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat, saya menulis dengan hati yang berat. Saya tidak boleh berdiam diri melihat luka yang semakin parah dalam keluarga besar kita, hanya kerana persaingan merebut jawatan

Pemilihan kali ini, yang seharusnya menjadi medan merayakan demokrasi dalaman, telah bertukar menjadi gelanggang serangan peribadi. Pencalonan dua tokoh besar ,saudari Nurul Izzah Anwar dan saudara Rafizi Ramli , telah menghangatkan suasana, dan malangnya, emosi yang memuncak telah mencetuskan kata-kata yang melukai hati.

Saya percaya, dan kita semua percaya, bahawa perbezaan pandangan tidak harus memusnahkan persaudaraan. Kita bukan musuh. Kita adalah pejuang yang mengharungi badai reformasi bersama. Kita adalah satu keluarga.

Parti ini lahir daripada darah dan air mata mereka yang mendambakan keadilan. Ia dibina atas dasar kasihkan rakyat, bukan kerana tamak kuasa. Kita berjuang bukan untuk menjatuhkan sesama sendiri, tetapi untuk membangunkan negara ini dengan nilai – nilai yang kita pegang erat: kejujuran, maruah, dan kasih sayang terhadap sesama insan.

Saya merayu bukan sebagai calon, tetapi sebagai saudara seperjuangan , hentikanlah cercaan, janganlah kita buka aib di khalayak. Rakyat sedang memerhati. Hati mereka hancur melihat pemimpin yang selama ini mereka hormati bertelagah secara terbuka. Mereka mengharapkan kita menjadi cahaya, bukan menambah kelam dalam politik negara. Satu masa dahulu, kita bersama lah yang menukar lanskap politik Malaysia. Kita mengajar pimpinan parti lain bagaimana untuk kempen secara matang. Kempen melalui manifesto yang kita tawarkan bukan serangan peribadi. Kini tokoh-tokoh yang mengajar saya pula kini tidak mengamalkan apa yang diajar kepada saya.

Datuk Seri Saifuddin, Datuk Seri Rafizi, Nurul Izzah, Dr Fuziah Salleh, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, mereka semua adalah permata dan tulang belakang dalam perjuangan kita. Menghentam salah seorang dari mereka sama seperti memecahkan kaca jendela rumah kita sendiri.

Saya tahu, kita semua sayangkan parti ini. Maka jagalah ia seperti kita menjaga keluarga sendiri. Dalam pemilihan ini, tiada siapa yang patut dipinggirkan. Kita harus mara ke depan dengan tangan yang saling menggenggam, bukan saling menolak.

Marilah kita kembalikan roh Keadilan , roh yang menyatukan kita dahulu. Kita bukan sekadar sebuah parti; kita adalah harapan yang masih hidup dalam hati rakyat Malaysia. Jangan biarkan perpecahan meranapkan impian yang telah kita bina bersama.

Saya sendiri kalah di pemilihan cabang, saya mengambil hikmah dan kekalahan tersebut sebagai satu dorongan untuk memperkukuh perjuangan ini. Saya menghadapi saat yang cukup mencabar dan menegangkan hati, namun saya tetap bangkit dan meneruskan perjuangan semula dengan semangat dan komitmen yang lebih utuh.

Jika ada yang percaya terdapat kelemahan dalam sistem, ingat bahawa akan ada pilihan parti lagi dalam tiga tahun, yang hanya kira-kira seribu hari lagi. Kita sentiasa boleh menangani kelemahan itu dalam pemilihan akan datang. Tetapi kerosakan yang disebabkan oleh ketidakharmonian dalam parti dan serangan peribadi tidak dapat diperbaiki dengan mudah

Dengan sepenuh jiwa, saya merayu: marilah kita kembali kepada asas perjuangan. Bersatulah, dan buktikan bahawa Keadilan masih utuh, masih kuat, dan masih menjadi sinar buat masa depan negara tercinta.