Pelancongan, kebajikan & khidmat rakyat fokus utama 3 inisiatif baru di Sepang – Athirah

FOTO BERITA: Majlis Pelucuran Inisiatif Kasih Rahmah (iKR’38), Program “Singgah Sepang Dulu” dan Perasmian Pembukaan Pusat Khidmat Baharu Ahli Parlimen Sepang oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, No.32 Jalan Desa Sri Qaseh Permai, Taman Desa Sri Qaseh Salak Tinggi, Sepang Selangor. 20hb Mei 2025 (Selasa)

SEPANG, 20 Mei 2025 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu hari ini merasmikan pelancaran 38 Inisiatif KASIH Rahmah (iKR38), program pelancongan komuniti Singgah Sepang Dulu (SSD) dan Pusat Khidmat Rakyat Baharu Ahli Parlimen Sepang dalam satu majlis meriah yang berlangsung di Salak Tinggi.

Yang hadir termasuk wakil-wakil agensi kerajaan dan komuniti tempatan hadir menyaksikan pelancaran tiga inisiatif utama ini yang disifatkan sebagai pencetus lonjakan baharu kepada pembangunan sosioekonomi daerah Sepang.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Tuan Khairil Azali Ibrahim, Pegawai Daerah Sepang, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi, Pegawai Daerah Kuala Langat; dan barisan kepimpinan tempatan termasuk Tuan Mohamad Shah Osim Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang, Tuan Mohd Hasry Nor Mohd YDP MP Kuala Langat, ACP Norhizam Bahaman Ketua Polis Daerah Sepang dan ACP Azman Shari’at, Ketua Polis Daerah KLIA.

38 Inisiatif KASIH Rahmah (iKR38) merangkumi pelbagai program intervensi sosial hasil kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti serta sektor korporat. Ia bertujuan memperluas bantuan kepada golongan memerlukan, memperkasakan ekonomi rakyat dan memperkukuh jaringan sokongan komuniti di seluruh Parlimen Sepang.

Dalam masa sama, Pusat Khidmat Rakyat Baharu Parlimen Sepang turut diumumkan pemindahannya dari Dengkil ke lokasi strategik di Salak Tinggi. Lokasi baharu yang terletak di Jalan Banting-Nilai ini dipilih kerana akses lebih mudah, kedudukan yang lebih menonjol dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk setempat.

Ahli Parlimen Sepang, YB Datuk Aiman Athirah Sabu, dalam kenyataannya berkata pelaksanaan tiga inisiatif ini mencerminkan komitmen Parlimen Sepang untuk terus memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat dan merancakkan pembangunan secara inklusif dan mampan.

“iKR38, SSD dan Pusat Khidmat Baharu adalah manifestasi khidmat yang proaktif, mendekati rakyat serta berfokus kepada pembangunan menyeluruh – bukan sahaja dari sudut kebajikan, tetapi juga ekonomi dan pelancongan komuniti,” katanya.

Majlis pelancaran ini disambut baik oleh komuniti setempat yang melihatnya sebagai langkah strategik ke arah mempertingkat kesejahteraan dan keterjaminan kehidupan rakyat Sepang secara keseluruhan.













