Lebih 20 bulan satu pelaburan pun tak masuk lagi di SG4, apa dah jadi?
Sehingga kini selepas lebih 20 bulan, tiada satu pun pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional atau dikenali sebagai SG4.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil mempersoal apa sudah jadi dengan kenyataan sebelum ini bahawa syarikat daripada Korea Selatan, Jepun dan China minat untuk melabur di SG4.
Menurut beliau, dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menjadi penghalang kepada potensi pelaburan di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah tidak berasas dan tidak dibuktikan sehingga sekarang.
Sebaliknya beliau membangkitkan satu persoalan lebih besar, adakah kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada ketidakupayaan PN di peringkat negeri sehingga tiada satu pun pelabur yang masuk terutama dalam sektor perlombongan unsur nadir bumi (REE).
“MB Kedah Muhammad Sanusi mendakwa prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE sengaja dilewatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan ini menghalang pelaburan ke dalam SG4.
“Dakwaan ini tidak berasas kerana SOP berkenaan telah pun diluluskan oleh Kerajaan MADANI dan telah dimaklumkan kepada negeri-negeri sejak November 2023.
“Namun,masih belum ada pelabur ke dalam sektor REE di SG4. Adakah ia berpunca daripada ketidakupayaan PN di peringkat negeri?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz berkata, kegagalan ini menunjukkan PN terutama Pas bukan sahaja tidak mampu menjadi kerajaan menanti, malah untuk dilihat sebagai pembangkang berkaliber pun tidak mampu.
Pada masa sama beliau berkata, jika PN memiliki kemampuan, sekurang-kurangnya SG4 boleh melancarkan halatuju (blueprint) untuk memacu sektor pembuatan tempatan, terutamanya pembuatan produk perantaraan industri untuk keperluan hab-hab pembuatan nilai tinggi sedia ada seperti Selangor dan Pulau Pinang.
“PN perlu menunjukkan kemampuan sebagai kerajaan menanti dan bukannya bermain dengan isu sentimen untuk menggugat pengaruh kerajaan Madani.
“Seharusnya, PN membina kekuataan ekonomi di SG4 sepertimana kemampuan PH mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008 walaupun negeri pembangkang, namun PH berkemampuan membuktikan sebagai kerajaan menanti ketika itu,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Kelantan jangan lupa pasang papan tanda larang dadah, fitnah, sumbang mahram