KPDN laksana 21 barangan kawalan SHMMP sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025

FOTO BERITA: Sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula hujung Mei ini. (Foto: KPDN)

Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2025, pelaksanaan akan bermula dari 27 Mei hingga 2 Jun 2025, manakala SHMMP Hari Gawai 2025 akan dilaksanakan dari 29 Mei hingga 4 Jun 2025. Skim ini dijalankan selama tujuh hari bagi setiap perayaan meliputi hari kemuncak serta tiga hari sebelum dan selepas perayaan bagi memastikan pengguna menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada para peniaga.

Menurut Menteri KPDN, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, sebanyak 10 jenis barangan telah disenaraikan di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025, berbanding 8 pada tahun sebelumnya. Tambahan dua barangan baharu ialah bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

Sementara itu, SHMMP Hari Gawai 2025 menyenaraikan 11 jenis barangan, juga meningkat berbanding 8 tahun lalu. Tiga barangan tambahan tahun ini ialah kelapa biji, kelapa parut, dan santan.

10 senarai barangan SHMMP Pesta Kaamatan 2025 termasuk babi hidup (di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), Daging kerbau import (India), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

Bagi Hari Gawai 2025, 11 senarai barangan iaitu babi hidup (di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia & China), bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji dan kelapa parut santan

Penetapan harga maksimum dibuat melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan, melibatkan pandangan pelbagai pihak industri.

Skim ini dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. Pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat beli-belah untuk memantau pematuhan.

Peniaga diwajibkan memaparkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan kawalan. Kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan tegas. Penalti termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun untuk individu, serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.

KPDN turut menekankan bahawa skim ini disokong oleh inisiatif tambahan seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI @ Petronas AutoExpert (SIM@PAX), sebagai langkah proaktif menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, dan rakyat amat penting dalam memastikan kesejahteraan pengguna serta kelangsungan perniagaan,” ujar Datuk Armizan.