Pemilihan kepimpinan baharu PKR berlangsung pagi ini
Kongres Nasional Keadilan PKR 2024/2025 berlangsung pagi ini bagi pemilihan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025-2028.
Seramai 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian terlibat dalam proses bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat.
Pengundian fizikal oleh perwakilan bertempat di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di Johor Bahru.
Di Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan dilaksanakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
Sementara itu, perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat dan Wanita Pusat akan mengundi secara dalam talian pada masa sama menerusi aplikasi ADIL.

Kira-kira jam 12 tengah hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundi secara fizikal di Berjaya Waterfront Hotel.
Terdapat 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sementara itu, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden.
Mereka termasuklah empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagi jawatan Ketua AMK yang disandang Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan tidak dicabar.
Jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Keputusan pemilihan MPP PKR akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam ini.
BACA JUGA Proton e.MAS 7 sudah terjual 2,716 unit, kuasai 26 peratus pasaran