Malaysia cipta sejarah baru, Resolusi Kesihatan Paru-Paru diterima pakai WHO
Malaysia mencatat sejarah di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) apabila Resolusi Kesihatan Paru-paru yang dirangka dan dipacu oleh negara ini, diterima pakai secara rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Resolusi tersebut turut disokong oleh 14 negara penaja bersama iaitu Bangladesh, Brunei Darussalam, China, Colombia, Mesir, Ghana, Guatemala, Kuwait, Palestin, Qatar, Romania, Rusia, Thailand dan Vanuatu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penerimaan resolusi ini merupakan satu pencapaian bersejarah dan kejayaan besar buat Malaysia dalam kepimpinan kesihatan global.
Melalui pencapaian ini, ia akan mengangkat penyakit seperti asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), kanser paru-paru, batuk kering (TB) dan pneumonia ke dalam arus perdana agenda kesihatan global.
“Seperti yang saya selalu tegaskan: ‘The lungs are perhaps the most insulted of all organs, constantly exposed to what we breathe, where we live, how we work, and even how we treat our planet.’
“Inilah hakikat yang menjadi asas kepada kepimpinan Malaysia bahawa kesihatan paru-paru bukan sekadar isu klinikal, tetapi cerminan ketidaksamaan sosial, persekitaran yang tercemar, dan keperluan kepada sistem kesihatan yang benar-benar berdaya tahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Resolusi tersebut menyeru kepada tiga teras tindakan utama iaitu pendekatan sistem menyeluruh merentas sektor, pelaburan dalam data, diagnostik dan tenaga kerja kesihatan, serta tindakan kolektif terhadap pencemaran udara dan amalan merokok.
Dr Dzulkefly menegaskan bahawa Malaysia tidak sekadar hadir untuk menyokong, sebaliknya mengambil peranan kepimpinan dalam membentuk kerangka resolusi tersebut.
“Malaysia tidak hadir sekadar menyokong, kita memimpin. Dengan visi yang jelas dan komitmen global yang utuh, kita mara ke hadapan demi nafas yang lebih sihat buat semua,” katanya.
WHA78 berlangsung di Geneva, Switzerland dan menghimpunkan para pemimpin kesihatan dari seluruh dunia untuk membincangkan pelbagai isu kesihatan global.
BACA JUGA Penangan Sidang ASEAN, warga kota teruja jalan raya lengang luar biasa