Penangan Sidang ASEAN, warga kota teruja jalan raya lengang luar biasa

Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di ibu negara mencuri tumpuan rakyat Malaysia yang teruja dengan suasana luar biasa lengang di sekitar ibu kota.

Sejak awal pagi, media sosial dibanjiri dengan gambar yang memaparkan jalan raya yang biasanya sesak, tiba-tiba menjadi kosong dan tenang.

Netizen menyifatkan situasi itu sebagai “momen jarang berlaku” dan “peluang sekali seumur hidup” bagi mereka yang setiap hari berdepan kesesakan teruk untuk ke tempat kerja.

Beberapa pengguna Facebook berkongsi keterujaan mereka dengan menulis:

“Wohaauuu!! Bangi-KL 20 minit 🤣”

“Clear macam musim raya”

“Tenang je pagi tadi haha”

“Bangi-KL 40minit je. Biasa 1 jam 30 minit atau lebih. Syoknya kalau hari-hari gini”

“Macam bermimpi aje hari ini..”

Keadaan luar biasa ini kerana penguatkuasaan kawalan keselamatan ketat sempena kehadiran pemimpin-pemimpin ASEAN dan keputusan ramai warga kota untuk bekerja dari rumah sebagai langkah mengelak kesulitan trafik.

Dalam keterujaan itu, segelintir netizen turut meluahkan harapan agar pihak berkuasa dapat meneliti semula pengurusan trafik di ibu kota agar lebih sistematik bukan hanya ketika berlangsungnya acara besar.

Mereka turut menyifatkan amalan bekerja dari rumah sebagai satu idea bernas yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas secara signifikan

“Kalau boleh maintain macam ini hari-hari pun best,” tulis seorang pengguna.

Buat seketika, Kuala Lumpur dianggap sudah berubah wajah dari kota yang tak pernah tidur kepada kota yang ‘bernafas’ perlahan.

Sesuatu yang jarang berlaku, tetapi cukup untuk membuatkan warga kota sedikit lega.

BACA JUGA Sah Nurul Izzah kini Timbalan Presiden PKR