Pesanan Anwar kepada Nurul Izzah dan Rafizi
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada dua tokoh utama parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, atas sumbangan berterusan mereka kepada parti dan rakyat.
Anwar menegaskan bahawa perbezaan pandangan antara mereka tidak harus dilihat sebagai perpecahan, sebaliknya sebagai kekuatan dalam demokrasi parti.
Kenyataan itu hadir susulan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan Rafizi tewas kepada Nurul Izzah, sekaligus gagal mempertahankan kedudukan Timbalan Presiden PKR.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh PKR seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah, yang tidak pernah berhenti menyumbang tenaga dan idea demi parti dan rakyat.
“Perbezaan pandangan harus diraikan dengan hikmah, bukan dijadikan alasan untuk memecahbelahkan. Kita bukan musuh antara satu sama lain sebaliknya saudara dalam perjuangan yang sama,” ujar Anwar.
Anwar turut mengingatkan bahawa perjuangan reformasi bukan soal keghairahan atau populariti semata-mata, sebaliknya menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan strategi yang jelas.
Dalam kenyataan yang sama, beliau mengajak semua pimpinan dan anggota parti untuk memperkukuh organisasi dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya akan datang.
“Saya menyeru semua pimpinan dan anggota PKR untuk perkuat organisasi, perluas jaringan, dan persiapkan diri menghadapi pilihan raya yang mendatang,” kata Anwar.
Anwar turut mencontohkan tokoh-tokoh sejarah seperti Umar Abdul Aziz dan Václav Havel sebagai inspirasi dalam melaksanakan perubahan yang bertahan.
“Kita harus belajar dari tokoh sejarah seperti Umar Abdul Aziz dan Václav Havel yang membuktikan bahawa perubahan yang bertahan adalah perubahan yang dilakukan dengan kesungguhan dan hikmah,” katanya.