Dua misi penting PKR, menurut naib presidennya
Naib presiden PKR Chang Lih Kang yang berjaya mengekalkan jawatannya dalam pemilihan PKR telah menggariskan dua misi penting yang perlu dipikul oleh PKR.
Misi pertama ialah untuk memenangi lebih banyak kerusi di dalam siri pilihan raya negeri(PRN).
Malaysia akan menyaksikan PRN di Sabah, Melaka, Johor dalam tempoh terdekat.
“Tugas besar menanti kita semua. Mengukuhkan KEADILAN di semua peringkat. Menawan lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“Dan memastikan kemenangan besar dalam PRU16 Demi mempertahankan mandat rakyat dan mengekalkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua.
“Ini bukan soal individu. Ini soal masa depan parti. Soal negara dan saya komited untuk terus bekerja dan berjuang.”
Chang yang juga adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengingatkan anggota partinya bahawa kemenangan dan kekalahan adalah lumrah dalam pemilihan parti.
“Sebagai orang lama dalam parti, kami faham menang atau kalah adalah lumrah pemilihan, tidak ada pemimpin akan tinggalkan perjuangan besar ini hanya kerana keputusan pemilihan tidak berpihak pada mereka.
“Yang penting, parti bertanggungjawab mengendalikan sistem pemilihan yang telus, adil dan berintegriti.