Ini dia cabaran terbesar untuk timbalan presiden PKR baharu
Cabaran terbesar untuk timbalan presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar adalah memastikan agenda reformasi yang diangkat oleh partinya itu menjadi kenyataan, kata seorang penganalisis politik.
“Cabaran yang lebih besar untuk Nurul ialah pengundi Cina bandar. Ini kerana mereka tidak melihat reformasi sehingga menggunakan perkataan ‘reformati’.
“Mimpi terburuk untuknya ialah senario di mana mereka tidak keluar mengundi,” kata Profesor James Chin dari Universiti Tasmania, Australia ketika dihubungi.
Pengundi Cina
“Walau bagaimanapun, kebanyakan kerusi majoriti Cina dikuasai oleh DAP. Meskipun demikian, beliau perlu memastikan kerusi majoriti Cina yang dimenangi PKR kekal.
“Nurul mempunyai peluang dalam tempoh dua tahun setengah. Oleh itu adalah diharapkan beliau membuat perkara yang betul ke arah reformasi yang diperlukan.”
Beliau berkata demikian ditanya mengenai keputusan pemilihan PKR yang menyaksikan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli ditewaskan oleh Nurul Izzah.
Chin juga yakin bahawa Nurul tidak akan menyertai barisan Jemaah Menteri.
“Dia takkan menyertai kabinet. Ia tidak pernah berlaku dalam politik Malaysia,” katanya merujuk kepada gandingan bapa dan anak di dalam Jemaah Menteri.
Chin menambah berkenan satu lagi perkara yang terkesan ekoran keputusan pemilihan – kedudukan Rafizi.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilihat sebagai bijak sekiranya berjaya mengekalkan Rafizi di dalam barisan kabinetnya.
“Rafizi lebih berbahaya sekiranya tidak berada di dalam kabinet.”
Peranan dalam Kerajaan Perpaduan
Mengulas isu yang sama, Profesor Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya turut menyenaraikan beberapa cabaran yang perlu digalas oleh Nurul Izzah.
“Cabaran terbesar pasca kemenangan ini ialah bagaimana beliau memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden dalam konteks PKR sebagai teras kepada Kerajaan Perpaduan.
“Nurul Izzah harus memastikan PKR kekal sebagai tulang belakang kerajaan tanpa mencairkan prinsip idealismenya, dalam masa sama tidak mengundang konflik terbuka dengan parti-parti komponen lain seperti UMNO, DAP atau Amanah.
Beliau menambah bahawa timbalan presiden baru tersebut juga mempunyai cabaran di dalam parti, cabaran persepsi dan cabaran dalam kalangan rakyat.
“Sebagai Timbalan Presiden, antara cabaran utama Nurul Izzah ialah memperkukuh perpaduan dalaman. PKR sering kali dihantui masalah fraksi, pertikaian pemilihan, dan agenda peribadi pemimpin yang menggugat keutuhan parti.
“Dengan latar belakang kekalahan Rafizi Ramli — yang pernah menjadi sekutunya dalam banyak isu reformasi — Nurul Izzah harus bertindak sebagai jambatan antara kelompok progresif, konservatif, dan pragmatik dalam PKR.
Isu nepotisme
Cabaran persepsi merujuk kepada persepsi nepotisme.
“Kemenangan beliau juga mengundang persoalan berkenaan dynastic politics atau politik berasaskan keluarga. Kritikan terhadap dominasi keluarga Anwar dalam struktur kepimpinan boleh menjadi liabiliti kepada imej PKR sebagai parti rakyat.
“Oleh itu, Nurul Izzah perlu mengemudi naratif ini dengan berhati-hati — memperkukuh integriti peribadi dan pencapaiannya sendiri, bukannya bergantung pada bayang-bayang bapanya sebagai Perdana Menteri.
“Nurul Izzah perlu keluar dari zon selesa Lembah Klang dan menjiwai denyut nadi rakyat luar bandar serta Sabah dan Sarawak.
“Kemenangan sebagai timbalan presiden mesti diterjemahkan kepada pengukuhan organisasi di akar umbi, pembinaan jaringan sokongan yang lebih menyeluruh, serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PKR — khususnya dalam kalangan generasi muda dan kelas pekerja.
“Maka kemenangan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR adalah simbolik tetapi tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan prestasi, ketegasan prinsip, dan keberanian membuat keputusan yang sukar.
“Cabaran beliau adalah untuk membina kembali kekuatan moral PKR, menyatukan parti yang berselerak, serta mentransformasikan idealisme menjadi dasar yang praktikal.
“Jika berjaya, beliau bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukannya dalam parti, tetapi juga meletakkan dirinya sebagai antara calon pemimpin nasional masa depan yang berwibawa dan berintegriti.
BACA JUGA: Sah Nurul Izzah kini Timbalan Presiden PKR