Guru tular dengan ‘CCTV & wiring’ dah direhatkan
Kementerian Pendidikan (KPM) merehatkan seorang guru yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang dikenali sebagai ‘CCTV & wiring’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, guru wanita berkenaan direhatkan daripada tugas mengajar sehingga siasatan terhadapnya selesai.
Namun, beliau berkata, guru di sebuah sekolah di Melaka itu masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam.
“Kita sudah pun mengambil sikap (langkah) untuk memastikan bahawa siasatan berlangsung, maknanya kita ambil tegas untuk pastikan tiada gangguan dalam siasatan itu.
“Pada ketika ini, dia (guru wanita) itu kita keluarkan (rehatkan) dari sekolah (itu) namun masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam sementara siasatan terhadapnya selesai,” katanya.
Fadhlina berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung isu guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang juruelektrik berstatus suami orang sehingga menjadi bualan di media sosial.
Beliau memaklumkan, KPM memandang serius akan perkara tular berkenaan dan mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan semua guru mematuhi integriti serta etika perguruan yang ditetapkan kementerian.
Jelasnya, beliau turut memberi jaminan setiap apa yang diadukan mengenai akhlak dan kelakuan guru diambil perhatian sepenuhnya kerana ia membabitkan soal imej seorang pendidik.
“KPM ambil serius (segala isu berkaitan etika guru) baik yang dilakukan secara rasmi (mahupun sebaliknya.
“Dalam perkara ini (guru wanita ada hubungan sulit dengan suami orang) siasatan sedang dilakukan.
“Kita mengambil tanggungjawab penuh untuk pastikan guru-guru kita ini mematuhi semua integriti dan etika perguruan yang ditetapkan oleh KPM,” katanya.
Terdahulu, warganet mengecam guru wanita dan suami orang itu susulan tersebarnya beberapa tangkap layar perbualan mereka yang berunsur lucah dan tidak senonoh.
Guru yang masih dalam tempoh iddah selepas bercerai dan juruelektrik itu antara lain melakukan perbuatan tidak bermoral pada bulan Ramadan.
Lelaki berkenaan turut berulang kali memberitahu dia adalah introvert dan pemalu.
BACA JUGA Hantaran mesej lucah kepada remaja, apa jadi ‘CEO Batu’?