Pelantikan Ustaz Fauwaz tepat ketika umat perlukan suara berani angkat kebenaran

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan pelantikan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Mufti Wilayah Persekutuan bertepatan pada waktunya ketika umat Islam memerlukan suara yang jelas, berani dan istiqamah dalam mengangkat kebenaran serta menolak kebatilan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mohamad menyuarakan harapan agar latar belakang keilmuan serta prinsip tegas yang dimiliki oleh Ahmad Fauwaz, membolehkannya menggalas amanah ini dengan penuh hikmah dan keberanian.

“AMANAH berharap Sahibus Samahah akan sentiasa mendukung usaha mengembalikan Islam sepertimana ajaran Nabi Muhammad SAW, agama yang membawa rahmat kepada semua,” ujarnya dalam satu hantaran malam tadi.

Selain itu, beliau menyeru agar institusi tersebut menjadi penggerak utama dalam membela golongan tertindas dan menentang kezaliman.

“Kami juga percaya bahawa institusi mufti harus menjadi penggerak utama dalam membela golongan mustada‘afin yang tertindas serta tegas menentang golongan mustakbirin yang angkuh dan menzalimi di seluruh muka bumi ini, selaras dengan tuntutan Islam yang sebenar.

“Moga Allah SWT memberkati dan memudahkan urusan Sahibus Samahah dalam menjalankan tanggungjawab yang besar ini,” titip beliau lagi.

BACA JUGA Ini cara Menteri Digital selamatkan pekerja hari ini daripada tersingkir esok akibat gelombang AI