Penolong Pengarah Belia dan Sukan didakwa salah guna jawatan beri kontrak kepada isteri

Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat isterinya empat tahun lalu.

Tertuduh, Rosdi Pilus, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Menurut Harian Metro, Rosdi didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan penginapan, makan dan minum untuk syarikat milik isterinya bernilai RM19,990 pada 18 November 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memperakukan ‘Kelulusan Ketua Bahagian’ pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik isterinya.

Ia bagi perolehan Perkhidmatan Bagi Program Hari Sukan Negara Tahun 2022 (HSN2022) Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000 pada 23 Februari 2022.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan.