PRN17 Sabah: “Sabar saja kamu tunggu, nanti kita beritahu”
Belum ada sebarang perbincangan atau keputusan mengenai perkembangan perbincangan kerjasama Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan gabungan dan parti lain.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hal ini memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadualkan tamat secara automatik pada 9 Oktober depan masih belum dibubarkan.
“Belum lagi PRN, bubarpun belum. Jadi sabar saja kamu tunggu, nanti kita beritahu,” katanya, dipetik BH.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan jeti dan pengoperasian semula perkhidmatan feri Kota Kinabalu-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat mengulangi pendirian mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk pakatan menghadapi PRN17.
Jelasnya, kerjasama GRS-PH membentuk kerajaan negeri yang ada sekarang adalah asas utama perlu diambil kira bagi menentukan kerjasama politik pada pilihan raya itu nanti.
Menurutnya, pendirian itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengumuman rasmi mengenai kerjasama berkenaan akan dibuat apabila tiba masanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk Seri Ruddy Awah, menjangkakan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan pada Ogos depan bagi memberi laluan kepada PRN17.
BACA JUGA ASEAN Express: Apa mesej penting disebalik lawatan PM Laos ke ibu pejabat KTMB?