Jadikan Tingkatan Enam pilihan utama pelajar, ini alasan Menteri Pendidikan

Tingkatan Enam wajar menjadi pilihan utama lulusan SPM memandangkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia standing dengan program antarabangsa dan diiktiraf oleh lebih 2,000 universiti di seluruh dunia, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Justeru itu penjenamaan Tingkatan Enam sedang dilaksanakan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Inilah iltizam kita untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, berimpak tinggi, dan mampu membawa mereka ke pentas global.

“Dalam memastikan kelangsungan dan kesaksamaan akses pendidikan, kerajaan turut memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan Enam mulai tahun 2025.

“Seramai lebih 100,000 orang murid Tingkatan Enam menerima manfaat ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta,” katanya di Majlis Perasmian Dermasiswa Pelajar STPM di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Pilihan Tingkatan Enam atau STPM dibangkitkan kerana kebanyakan lulusan SPM memohon untuk memasuki matrikulasi.

Walau bagaimanapun, jumlah kerusi yang ditawarkan adalah terhad.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau turut menggesa lulusan SPM untuk memasuki Tingkatan Enam dan menduduki peperiksaan STPM.

BACA JUGA: STPM: A gateway to global recognition and higher education excellence