Projek Jambatan Darat Thailand: Cabaran serantau yang perlu ditangani secara strategik

OLEH: CHAN CHUN KUANG

Projek Jambatan Darat Thailand atau Thailand Land Bridge Project yang menghubungkan Laut Andaman di Ranong dengan Teluk Thailand di Chumphon dijangka memberi kesan besar terhadap laluan logistik serantau, termasuk ekonomi Malaysia.

Dengan sasaran menggantikan sebahagian daripada penggunaan Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan, projek ini membawa implikasi langsung kepada daya saing pelabuhan-pelabuhan utama negara seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kesan terhadap Ekonomi Malaysia

a) Pengalihan Laluan Perkapalan:

Projek ini dijangka mengubah aliran perdagangan global yang selama ini bergantung kepada Selat Melaka.

Ini boleh menyebabkan pengurangan kapal dagang sebangak 30% yang melalui perairan Malaysia dan secara langsung menjejaskan hasil daripada sektor logistik dan perkhidmatan pelabuhan.

b) Persaingan Terhadap Pelabuhan Malaysia:

Pengurangan trafik laut akan memberi tekanan kepada kecekapan dan kelestarian operasi pelabuhan negara.

Ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan, pelaburan dan sumbangan ekonomi daripada sektor perkapalan dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

Cadangan dan Langkah Strategik

Bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap logistik serantau, beberapa langkah strategik perlu diambil segera:

a) Menyusun Semula Laluan Logistik Nasional dan Serantau

Malaysia perlu meneliti semula strategi logistik negara dengan mengambil kira perubahan landskap ini.

Antara yang boleh dipertimbangkan adalah memperkukuh jaringan rel, jalan raya dan pelabuhan agar dapat berfungsi sebagai rangkaian yang saling melengkapi – termasuklah mewujudkan hubungan logistik baharu ke kawasan pedalaman dan sempadan utara Semenanjung.

b) Meningkatkan Kecekapan dan Menurunkan Kos Operasi Pelabuhan

Pelabuhan Malaysia perlu lebih efisien, berdaya saing dan berteknologi tinggi. Proses birokrasi yang melambatkan urusan pelabuhan perlu dikurangkan.

Langkah penurunan kos pengendalian kontena serta insentif kepada syarikat logistik dan perkapalan boleh dipertimbangkan untuk kekal relevan dalam persaingan.

c) Melabur dalam Pelancongan Kapal Persiaran

Malaysia boleh mempelbagaikan peranan pelabuhan – khususnya di Pantai Timur dan Sabah/Sarawak – sebagai destinasi kapal persiaran (cruise tourism).

Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kargo, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan.

Projek Jambatan Darat Thailand adalah satu dasar strategik oleh negara jiran untuk memanfaatkan kedudukan geografi mereka.

Malaysia tidak boleh mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya perlu bertindak segera dengan membina dasar logistik dan pelabuhan yang lebih responsif, progresif dan mesra pelabur agar kita terus menjadi antara hab perdagangan penting di rantau ini.


CHAN CHUN KUANG ialah ADUN Semambu dari PKR.