11 MP tarik sokongan, khabar angin yang memualkan
Oleh: Noraini Nordin
Sekali lagi berita penarikan sokongan sejumlah Ahli Parlimen (MP) terhadap Perdana Menteri ditimbulkan berikutan perletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri semalam.
Kali ini dikatakab kononnya 11 Ahli Parlimen, termasuk Rafizi dan Nik Nazmi diberitakan akan menarik sokongan yang diberitakan akan dilakukan melalui sidang media pada esok (Jumaat).
Ahli Parlimen lain yang disebut itu adalah Chang Lih Kang (TanjungMalim), Tan Kar Hing (Gopeng), Akmal Nasir (Johor Bahru), Wong Chen (Subang), Zahir Hasan (Wangsa Maju), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Aminudin Harun (Port Dickson).
Berita palsu
Hakikatnya ini adalah berita palsu dan tiada kebenaran sama sekali.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang namanya disenaraikan dalam kumpulan itu menyifatkan ia sebagai mengarut.
Setiap kali berlaku pergolakan politik, isu kononnya ada Ahli Parlimen menarik sokongan inilah yang selalu dimainkan.
Hakikatnya, semua ini menunjukkan pembangkang ketandusan idea dan hanya memikirkan soal kuasa dengan menyebarkan cerita-cerita tidak benar.
Ia tidak lain bertujuan mencetuskan ketidakstabilan dalam Kerajaan Madani dan mahu rakyat menjadi resah.
Sepatutnya, jika ada yang berangan-angan mahu mengambil alih kerajaan, tunggulah PRU16 akan datang dan biarlah rakyat membuat penentuan.
Dalam hal ini, rakyat tidak harus termakan dengan dakyah yang disebarkan melalui media sosial kerana tiada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat menarik sokongan dan kerajaan ini tetap stabil berkhidmat kepada rakyat sehingga tempoh mandat yang ditetapkan.
Rumusannya yang dapat kita lihat adalah rakyat sudah muak dengan berita palsu dan persepsi kononnya kerajaan bakal tumbang. Inilah khabar angin murahan yang memualkan.
Noraini Nordin ialah mantan ketua penerangan wanita PKR pusat.