Dakwaan 11 MP berpaling tadah mengarut, Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan kerana jaga adab

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang merangkap naib presiden PKR dan MP Tanjung Malim menyifatkan dakwaan 11 MP PKR akan berpaling tadah sebagai “mengarut”.

“Mengarut.

“Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan cabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi. Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” ujarnya dalam satu mesej WhatsApp.

Ia ekoran senarai 11 MP tersebut yang tular semalam. Senarai tersebut juga adalah palsu.

Kesemua 11 yang dinamakan juga adalah penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli.

Senarai 11 MP tersebut adalah seperti berikut:

Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Chang Lih Kang (Tanjung Malim), Tan Kar Hing (Ahli Parlimen Gopeng), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson).

Naib ketua Bersatu (Bersekutu) Datuk R Sri Sanjeevan enggan mengulas berkenaan senarai ahli parlimen PKR palsu yang dikatakan telah menarik sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa buang masa mengulas perkara ini sedangkan senarai tersebut palsu?” katanya.

Timbalan presiden MIPP, S Subramaniam bagaimanapun percaya bahawa senarai tersebut adalah benar.

“Senarai nama tersebut ialah benar tapi PN tidak terlibat dalam perkara ini.

“Ia hal dalaman PKR. Mereka mahu menarik diri kerana memperoleh kerusi mereka, ehsan daripada Rafizi,” katanya.