Perletakan jawatan Menteri dalam perlembagaan

ZULQARNAIN LUKMAN

Semalam Rafizi Ramli dan Nik Nazmi telah meletakkan jawatan sebagai menteri di dalam kabinet PMX.

Per. 43 (5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri BOLEH MELETAKKAN JAWATANNYA.”

Klausa ini secara jelas menyatakan bahawa seseorang menteri itu boleh meletakkan jawatannya.

Namun, membaca Per. 43(5) tanpa melihat proses perlantikan seseorang menteri adalah tidak lengkap kerana ianya saling berkait apabila kita mengulas mengenai kedudukan seorang menteri dalam kabinet.

Peruntukan yang relevan adalah Per. 43(1), 43(2) dan 43(3) iaitu:

43 (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.

43 (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) ….; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; ….

43(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

Prinsip yang berkait rapat dengan seseorang menteri adalah:

1. Collective responsibility (kebertanggungjawaban bersama)

2. Ministerial responsibility (kebertanggungjawaban terhadap kementeriannya).

3. Menteri dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

4. Menteri boleh meletakkan jawatan.

5. Menteri boleh digugurkan daripada jawatannya oleh Perdana Menteri yang akan menasihati YDPA.

Dalam sejarah kabinet Malaysia, perletakan jawatan sebagai menteri ini berlaku beberapa kali, antaranya,

1. Datuk Mokhtar Hashim – sebab pertuduhan membunuh.

2. Datuk Seri Chua Soe Lek – sebab video dengan wanita

3. Tun Musa Hitam – percanggahan pendapat dengan PM

4. Dr Maszlee Malik – arahan PM

5. Tun Daim Zainudin – setelah ekonomi pulih dan tumpu perniagaan

Pokoknya meletakkan jawatan ini adalah hak seorang menteri.

Rafizi menyatakan beliau meletakkan jawatan kerana,

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.”

Isu mengenai perletakan jawatan Rafizi bukanlah kerana dia meletakkan jawatan. Meletakkan jawatan sebagai menteri adalah hak perlembagaan yang diberikan kepada seorang menteri. Isunya adalah alasan yang digunakan untuk Rafizi meletakkan jawatan.

Sebagaimana yang dijelaskan di atas, dalam prinsip kabinet, menteri itu dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri dan seorang menteri itu memegang jawatan itu atas perkenan YDPA. Perkenan YDPA itu adalah bersamaan dengan nasihat Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri itu sudah tidak menyukai dia sebagai menteri, Perdana Menteri boleh memberikan nasihat kepada YDPA untuk melucutkan jawatan menteri tersebut.

Keduanya, jika menteri itu bertelagah secara prinsip dengan Perdana Menteri mengenai sesuatu benda yang dasar dan ingin menyanggah Perdana Menteri atau Kabinet maka beliau selayaknya meletakkan jawatan terlebih dahulu. Ini yang dimaksudkan dengan ‘collective responsibility’.

Ketiganya, jika dia gagal untuk melakukan tugasnya sebagai menteri contohnya jika berlaku penyelewengan dalam memasukkan data dalam DOSM yang bertujuan untuk menyelewengkan atau menyembunyikan fakta statistik sebenar negara maka dia perlu meletakkan jawatan. Ini yang dimaksudkan dengan ‘ministerial responsibility’.

Alasan Rafizi meletakkan jawatan adalah kerana kekalahannya dalam pemilihan PKR dan dia berasa dia tiada lagi mandat dari parti PKR untuk menjadi menteri. Dalam bahasa yang mudah difahami adalah bahawa Rafizi berasa malu mata hendak jadi menteri dalam keadaan dia kalah pertandingan parti dan dia rasa jawatannya itu patut diberikan kepada yang menang. Dia juga nyatakan inilah amalan di negara yang mementingkan prinsip demokrasi.

Alasan ini yang agak tidak logik walaupun ramai kalangan penyokong Rafizi merasakan bahawa Rafizi seorang yang bermaruah, berprinsip dan mempunyai akauntabiliti.

Alasan ini adalah tidak berperlembagaan dan tidak menurut norma yang sepatutnya mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Jika benar pun di negara luar ada pemimpin yang meletakkan jawatan sebagai menteri kerana kalah dalam pertandingan pemilihan parti ianya bukanlah acuan yang sesuai untuk dijadikan teladan kerana Malaysia mempunyai prinsip Perlembagaannya sendiri dan mempunyai norma amalannya yang berbeza.

Prinsip kabinet yang menjadi amalan Perlembagaan Persekutuan itu patut didahulukan oleh Rafizi iaitu prinsip ‘collective responsibility’ dan ‘ministerial responsibility’. Dalam keadaan Rafizi sendiri mengakui telah mendrafkan RMK-13 sepatutnya beliau tidak meletakkan jawatan terlebih dahulu sehingga beliau pasti RMK-13 itu berjalan seperti yang dirancang.

Prinsip kabinet yang lain adalah bahawa menteri itu memegang jawatan atas kehendak Perdana Menteri yang memberikan nasihat kepada YDPA. Menteri juga boleh digugurkan dengan kehendak Perdana Menteri yang memberikan nasihat kepada YDPA.

Dalam kes DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM v. PERDANA MENTERI MALAYSIA & ANOR [2010] 1 MLRA 386, Mahkamah Persekutuan memutuskan,

[43] In view of the foregoing provisions it is our judgment that the Yang di Pertuan Agong as a constitutional monarch has a very limited role concerning the appointment of Cabinet Ministers. In actual fact the power to choose and appoint Ministers resides with the Prime Minister. The Prime Minister is responsible in choosing his Cabinet members. The Yang di Pertuan Agong upon being advised by the Prime Minister on the choice of his candidates must act on such advice. His Majesty does not have any discretion to reject or question the discretion of the Prime Minister. Revocation of the appointment equally lies with the Prime Minister having regard to the principle that it is only the authority which appoints that has the right to revoke the appointment. If the Prime Minister has decided that a particular Minister should cease from holding the office of a Minister then the Yang di Pertuan Agong would not be able to say otherwise. Reference to the Yang di Pertuan Agong in the said Article of the FC is only a formality by virtue of His Majesty being the constitutional monarch. Such a clear demarcation of power and roles between the Prime Minister and the Yang di Pertuan Agong in matters of appointment and revocation of ministerial posts is imperative in order to realize the role of collective responsibility of the Cabinet Ministers.

Oleh itu, jika Rafizi ingin meletakkan jawatan atas alasan dia tidak lagi sebulu atau sependapat dengan Perdana Menteri maka itu adalah alasan yang selari dengan prinsip kabinet. Namun, alasan Rafizi meletakkan jawatan kerana kalah pemilihan parti dan ingin beri ruang kepada pemimpin yang baharu ini adalah alasan yang tidak menepati Perlembagaan.

Malah, alasan ini juga tidak menepati kehendak perlembagaan parti PKR itu sendiri. Ini kerana keputusan parti itu adalah untuk memilih seorang Timbalan Presiden dan bukannya memilih seorang menteri. Keputusan parti itu hanya berlaku jika diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bahawa Rafizi perlu meletakkan jawatan dan melalui keputusan itu, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri boleh meminta Rafizi meletakkan jawatan.

Sehingga kini, tiada apa-apa kenyataan rasmi daripada MPP yang menyatakan bahawa Rafizi perlu meletakkan jawatan. Apa yang Rafizi patut buat adalah bukan menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri tetapi menyerahkan surat kepada MPP supaya hal tersebut boleh diputuskan oleh MPP atau Rafizi boleh menyerahkan hal jawatannya itu kepada Perdana Menteri untuk Perdana Menteri membuat keputusan sama ada mengekalkan jawatannya atau memintanya untuk meletakkan jawatan.

Sebagai seorang ahli Parlimen yang menggubal undang-undang, prinsip dan pendirian yang kita ambil seharusnya selari dengan undang-undang Perlembagaan. Bertindak di luar kerangka Perlembagaan akan mewujudkan rasa canggung dan akhirnya sifat kecanggungan itu akan direkodkan dalam sejarah yang akan dibaca oleh generasi akan datang.


ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengerusi KANUN AMANAH