GV Ride rai pemandu cemerlang, komited majukan komuniti E-hailing

FOTO BERITA: Majlis Perasmian “Kayuh & Menang” & Penyerahan Hadiah Utama Tame & Bulanan kepada pemandu Gvride. Turut hadir YB Tuan Mohd Sany Hamzan Ahli Parlimen Hulu Langat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Kabeer di Impian Golf & Country Club, Jalan Cheras, Kajang, Selangor. 29hb Mei 2025 (Khamis)

GV Ride terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam industri e-hailing tempatan dengan menganjurkan Majlis Penyerahan Hadiah Utama dan Bulanan bagi program “Kayuh & Menang” 2025, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan pencapaian cemerlang rakan pemandu sejak Februari lalu.

Majlis yang berlangsung penuh meriah itu bukan sahaja menjadi platform penyampaian hadiah lumayan, malah menjadi simbolik kepada hubungan erat antara GV Ride dan komuniti pemandunya, yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan syarikat.

Dalam ucapan perasmian, YB Mohd Sany menyatakan sokongan penuh beliau terhadap usaha yang dilaksanakan oleh Gvride dalam memperkasakan ekonomi rakyat, khususnya para pemandu e-hailing di kawasan Hulu Langat dan sekitarnya.

“Program seperti ini amat bertepatan dalam menyemarakkan semangat kerja keras di kalangan pemandu serta memperkukuh jaringan ekonomi setempat. Saya menyokong penuh inisiatif Gvride yang bukan sahaja memberi peluang menjana pendapatan, tetapi juga memperkenalkan elemen kesihatan dan kelestarian dalam industri pengangkutan,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, barisan pengurusan, penaja, dan terutamanya para pemandu GV Ride.

“Tanpa anda semua, tiadalah GV Ride pada hari ini,” ujar Kabeer. Beliau turut menekankan bahawa komitmen dan penglibatan aktif para pemandu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kukuh syarikat.

Untuk pemandu yang aktif setiap bulan, hadiah berupa baucar minyak bernilai RM500 dan RM50 turut disediakan sebagai insentif tambahan dan motivasi berterusan.

Program “Kayuh & Menang” 2025 menawarkan pelbagai hadiah menarik, antaranya Perodua Bezza 1.3X sebagai hadiah utama, wang tunai RM10,000 dan RM5,000 bagi pemenang tempat kedua dan ketiga, serta peranti teknologi terkini seperti Samsung S25 Ultra, iPhone 16 Pro Max, dan Vivo Y39 5G.

Kabeer menjelaskan bahawa program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebahagian daripada usaha berterusan GV Ride dalam membina komuniti yang kukuh serta menjana nilai jangka panjang untuk para pemandu.

>
“GV Ride bukan hanya platform e-hailing. Ia adalah satu komuniti yang menyediakan ruang untuk menjana pendapatan, membina kerjaya dan mencapai kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen syarikat untuk terus mendengar suara pemandu dan menambah baik sokongan kepada mereka, termasuk inisiatif latihan peningkatan kemahiran serta sistem sokongan kebajikan yang lebih menyeluruh.

Majlis turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Mohd Sany Hamzan, yang menyatakan sokongan padu terhadap syarikat tempatan seperti GV Ride yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi gig dan penciptaan peluang pekerjaan fleksibel.
