MHO Desak Malaysia Pimpin Tindakan Serantau Tangani Pemerdagangan Manusia Sempena Pengerusi ASEAN 2025

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiauhasa Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan rayuan keluarga mangsa perdagangan manusia Malaysia sebagai Pengerusi Asean di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 29hb Mei 2025 (Khamis)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa Kerajaan Malaysia agar menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memimpin usaha serantau dalam menangani isu pemerdagangan manusia yang semakin meruncing, khususnya melibatkan rakyat Malaysia di rantau Asia Tenggara.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, dalam satu kenyataan kepada media, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan berkaitan rakyat Malaysia yang telah diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu dan kemudiannya dipaksa bekerja di pusat-pusat penipuan (scam center) di negara-negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.

“Ramai antara mereka telah dikurung, dipukul, dipaksa bekerja sebagai buruh paksa dan dilayan secara kejam. Ini bukan sekadar jenayah domestik – ia ,adalah krisis kemanusiaan rentas sempadan yang amat serius dan memerlukan tindakan segera,” tegas beliau.

Susulan gesaan ini, lebih 20 keluarga mangsa dijadual hadir ke Putrajaya esok untuk menyerahkan rayuan secara langsung kepada kerajaan dan pihak ASEAN, merayu agar anak-anak mereka yang masih terperangkap dapat diselamatkan segera.

“Pasukan ini mesti disokong oleh mekanisme penguatkuasaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat pintar antara negara-negara anggota ASEAN. Kita juga gesa agar semua negara ASEAN menutup serta-merta semua pusat scam yang dikenal pasti, kerana pusat-pusat ini adalah simbol kegagalan dasar perlindungan manusia di rantau ini,” kata Hishamuddin lagi.

Difahamkan, MHO juga akan menghantar sepucuk surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan agar Malaysia mengambil langkah diplomatik yang lebih agresif terhadap negara-negara yang masih gagal menangani kegiatan pemerdagangan manusia ini secara tuntas.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menyatakan bahawa pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 adalah peluang penting untuk mengetengahkan inisiatif berteraskan kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia.

Menurut beliau, MHO konsisten menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan pemerdagangan manusia. Masalah ini, katanya, semakin merebak dan perlu ditangani secara menyeluruh dari sudut dasar, keselamatan serantau dan perlindungan hak asasi.

“Mangsa terus bertambah setiap bulan. Isu ini berkembang seperti cendawan selepas hujan, dan jika tidak ditangani secara kolektif, ia akan menjadi krisis berpanjangan yang mencemarkan nama ASEAN sebagai sebuah rantau yang kononnya selamat dan stabil,” tegas Hishamuddin.