MOT sokong inisiatif NLTF perkukuh keselamatan jalan raya dan kurangkan kesesakan di Pelabuhan Klang

FOTO BERITA: Sidang Media sempena Mesyuarat National Logistics Task Force oleh Kementerian Pengangkutan YB Loke Siew Fook di Hotel Le Meridien, Putrajaya. 29hb Mei 2025 (Khamis)

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menyambut baik dan menghargai inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan serta diluluskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil. 1/2025, khususnya dalam usaha mempertingkat keselamatan jalan raya dan menyuraikan pergerakan kenderaan pengangkut barangan (haulier) di sekitar Pelabuhan Klang.

Susulan peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat serta kesesakan kritikal di laluan menuju ke Pelabuhan Klang, NLTF telah meluluskan beberapa inisiatif penting bagi menangani isu ini secara berkesan. Antaranya ialah insentif luar waktu puncak. Pengangkut barangan atau Haulier yang memasuki Pelabuhan Klang di luar waktu puncak (8:00 malam hingga 8:00 pagi) akan menerima insentif tunai sebanyak RM15.00 untuk pergerakan dua hala dan RM7.50 bagi pergerakan satu hala. Insentif ini dibiayai menerusi pengenaan Terminal Access Charge (TAC) sebanyak RM10.00 kepada haulier yang memasuki pelabuhan pada waktu puncak (8:00 pagi – 8:00 malam). TAC dan insentif ini tidak dikenakan pada hari Ahad dan Cuti Umum.

    Sebagai galakan tambahan, pengimport dan pengeksport yang berjaya memindahkan sekurang-kurangnya 50% daripada pergerakan haulier mereka ke luar waktu puncak sebelum atau pada 1 Julai 2025 akan menerima lanjutan tempoh simpanan percuma kontena.Namun, kegagalan mematuhi nisbah 50:50 (waktu puncak vs luar puncak) akan menyebabkan insentif ini ditarik balik atau dikurangkan Menurut statistik, terdapat peningkatan sembilan peratus dalam jumlah pengendalian kontena import dan eksport di Pelabuhan Klang sepanjang 2024 berbanding 2023. Sebanyak 70% pergerakan haulier tertumpu pada waktu puncak, memberi tekanan besar kepada infrastruktur jalan dan operasi logistik.

      Sebagai respons kepada cabaran ini, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah menubuhkan Pasukan Petugas khas pada 7 Januari 2025, susulan Mesyuarat NLTF Bil. 2/2024. Pasukan ini dianggotai pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menganalisis corak trafik dan merangka strategi penyuraian trafik ke luar waktu puncak.

        MOT juga mengumumkan penguatkuasaan sekatan terhadap kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had BGK tidak akan hanya tertumpu di Pelabuhan Klang. Bermula 1 Julai 2025, penguatkuasaan akan diperluaskan ke semua pelabuhan persekutuan di Semenanjung Malaysia. Infrastruktur pelabuhan akan digunakan sebagai platform penguatkuasaan tambahan, dan perincian pelaksanaan akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa pelabuhan masing-masing kepada penggiat industri.

          MOT menyeru pengusaha lori dan pemain industri logistik untuk sentiasa mematuhi had muatan dibenarkan dan memahami kaedah pelaksanaan di setiap pelabuhan agar dapat mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang boleh menjejaskan kelancaran operasi perniagaan.

          Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang MOT untuk memperkukuh keselamatan jalan raya dan menjamin keberkesanan rangkaian logistik negara demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya.