RR dan kelebihan untuk kabinet PM Anwar
Oleh: Sakthivel Thevar
Tempoh kempen pemilihan PKR menyaksikan mantan timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli (RR) menyasarkan kritikan terbuka beliau terhadap Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (RR).
Pemilihan PKR sudah pun tamat dan ekoran peletakan jawatan Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, timbul pula kekosongan di dalam barisan Kabinet.
Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ini ialah Ramanan.
Jika dilihat dari sudut memenangi sokongan, Ramanan telah membuktikan kebolehannya baik di dalam pilihan raya umum mahupun pemilihan parti.
Di dalam pilihan raya umum, beliau menjadi ‘giant killer’ apabila menewaskan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh.
Di dalam sesi pemilihan PKR yang baru usai, Ramanan bukan sahaja menewaskan penyandang Nik Nazmi, malah memperoleh undi kedua terbanyak.
Ramanan juga tokoh PKR berketurunan India pertama yang menjadi naib presiden menerusi pemilihan bukan pelantikan,
Undi yang diperoleh beliau lebih tinggi berbanding Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Soalnya sekarang, apakah faedah untuk Kerajaan Perpaduan dengan menjadikan Ramanan anggota Kabinet? Apakah nilai tambah yang boleh diberikan oleh Ramanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Satu kritikan utama yang masih berlegar dalam kalangan masyarakat India terhadap kerajaan ialah ketiadaan wakil masyarakat India/keturunan Tamil di dalam Kabinet.
Ya, PM Anwar telah melantik Menteri Digital Gobind Singh Deo untuk mewakili kepentingan masyarakat India.
Gobind telah berusaha sehabis baik untuk memainkan peranan ini namun wujud keterbatasan kerana portfolio yang dipegang juga adalah mencabar dan penting untuk masa hadapan Malaysia.
Sebelum Gobind, wakil masyarakat India di dalam Kabinet ialah V Sivakumar yang memegang portfolio sumber manusia namun ketika persidangan bahasa Tamil yang diadakan di Universiti Malaya, ada pihak yang menentang kehadiran Sivakumar kerana beliau bukan Tamil.
Tiga hujah
Perlu diingati etnik Tamil dalam masyarakat India di Malaysia kumpulan masyarakat yang terbesar.
Pelantikan Ramanan sebagai anggota Kabinet akan memberi kelebihan kepada Anwar seperti di dalam peribahasa sambil menyelam, minum air.
Pertama, ia akan mematikan hujah bahawa tiada anggota India/Tamil di dalam Kabinet Anwar.
Kedua ia juga akan dapat memulihkan imej dan sokongan masyarakat India terhadap Anwar.
Pelantikan ini akan adalah langkah pembinaan keyakinan atau ‘confidence building measure’ yang ditujukan kepada masyarakat India.
Ketiga, ini langkah persediaan menuju ke arah pilihan raya umum di mana biar satu undi pun cukup untuk menentukan kemenangan dan kekalahan calon PKR.
Undi masyarakat India menjadi lebih penting kerana banyak kerusi yang dimenangi PKR ialah kerusi campuran.
Sakthivel Thevar ialah pembaca Harapan Daily.