193 negara sepakat lantik Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat

Kesemua 193 negara sebulat suara memilih Malaysia sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi laman Facebook beliau malam tadi.

“Pengumuman rasmi mengenainya telah dibuat semasa sesi Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi, Kenya hari ini,” katanya.

UN-Habitat yang ditubuhkan pada tahun 1975 dan berpangkalan di Nairobi, Kenya menjadi program penuh PBB pada 2001.

Nga yang turut berucap di persidangan tersebut menggesa negara anggota lebih bersungguh dalam melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu.

“Kami berharap anda akan terus menyokong seruan untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu terutamanya memandangkan 2026 menandakan sepuluh tahun agenda itu diterima pakai di Habitat III di Quito,” katanya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk bekerjasama selaras dengan prinsip Perkongsian Rakyat-Awam-Swasta (4Ps).

“Kita lebih kuat bersama-sama apabila kita terus berkongsi pengetahuan, memupuk kerjasama dan memastikan tiada sesiapa dan tiada tempat yang ketinggalan dalam dunia yang semakin membangun pesat.

“Sepanjang tempoh saya sebagai Presiden Persidangan, marilah kita memperkukuh UN-Habitat sebagai platform untuk perancangan dan tindakan. Marilah kita memastikan bahawa suara kerajaan tempatan, wanita, belia, masyarakat sivil dan komuniti rentan diambil kira apabila kita membangunkan dasar dan merangka pelan tindakan,” katanya.

Satu mesyuarat Biro Bersama akan diadakan di Pulau Pinang, Malaysia di sela Persidangan Menteri-Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Asia Pasifik pada Oktober ini.

“Ini akan memberi peluang kepada biro-biro bersama untuk menilai impak Persidangan dan menyelaraskan sokongan mereka dengan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029,” katanya.