Amirudin bertukar peranan dengan Zafrul? Ini jawapan Amirudin

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menepis spekulasi bahawa beliau akan bertukar peranan dengan Senator Tengku Zafrul Aziz.

Spekulasi tersebut timbul ekoran dari Zafrul yang mengisytiharkan bahawa beliau keluar dari Umno.

Amirudin yang juga naib presiden PKR berkata beliau tidak menjangkakan sebarang pilihan raya kecil akan dibuat untuk membolehkan Tengku Zafrul menyertai Dewan Undangan Negeri Selangor.

“MB (Menteri Besar) kekal, itu antara doa yang saya minta untuk Tengku Zafrul doakan. Dia nak ke Mekah hari ini,” katanya selepas majlis penyerahan lesen memandu Program Mylesen (B2) peringkat Negeri Selangor 2025 di Dewan Seri Siantan, Selayang hari ini.

Aminuddin berkata tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul untuk menyertai Dewan Undangan Negeri Selangor, dan beliau juga tidak menjangka akan mengosongkan kerusinya untuk berpindah ke peringkat persekutuan.

“Saya tidak rasa ada jalan itu nak kena Pilihan Raya Kecil, kena masuk, saya nak ke kerajaan persekutuan, kena kosongkan. Kita hanya berbaki beberapa tahun saja lagi, dua tahun setengah.

“Tak banyak yang kita boleh aturkan pada pandangan saya. Tapi kita kena lihat lagi lah sebarang perkembangan terkini. Ura-ura ni dah banyak kali lah,” ujarnya.