Dasar subsidi LPG silinder 14kg, ada atau tidak?

OLEH: ANTHONY LOKE

Kebelakangan ini, terdapat kekeliruan dalam kalangan peniaga kecil berhubung dakwaan bahawa subsidi LPG silinder 14kg telah dibatalkan.

Saya ingin menjelaskan bahawa saya telah mendapatkan pengesahan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup – subsidi tersebut masih dikekalkan oleh kerajaan.

Harga semasa bagi LPG silinder 14kg kekal pada RM26, yang merupakan harga bersubsidi. Sekiranya tanpa subsidi, harganya boleh mencecah RM70.

LPG silinder ini disasarkan untuk kegunaan isi rumah, dan mereka masih layak menikmati subsidi ini.

Bagi para peniaga kecil seperti penjaja dan pengusaha pasar malam, di mana penggunaan yang tidak melebihi tiga silinder, masih dibenarkan membeli LPG silinder 14kg pada harga bersubsidi.

Penguatkuasaan yang bermula pada 1 Mei oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertujuan membanteras penyalahgunaan subsidi oleh pembekal, terutamanya mereka yang memindahkan LPG dari tong kecil bersubsidi ke tong besar untuk dijual pada harga tidak bersubsidi.

Kepada peniaga yang menerima notis, perlu difahami bahawa notis tersebut bukan saman atau denda, tetapi satu peringatan bahawa penggunaan melebihi tiga tong memerlukan permit khas.

Saya faham ada kekeliruan dalam pelaksanaan dasar ini, terutama dalam konteks pusat penjaja yang mempunyai banyak gerai dengan keperluan gas tersendiri. Isu ini telah saya sampaikan kepada KPDN dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

Saya ingin menjelaskan bahawa subsidi tidak dihentikan.

Apa yang dilakukan kerajaan adalah memperketat penguatkuasaan untuk mengelakkan ketirisan dan memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Butiran lanjut akan terus diperhalusi demi memastikan pelaksanaan yang adil dan jelas kepada semua.


ANTHONY LOKE ialah Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan.