MHO seru Malaysia gunakan peranan sebagai Pengerusi ASEAN tangani isu pemerdagangan manusia

FOTO BERITA: Penyerahan surat aduan dan cadangan kepada YAB Perdana Menteri selaku Pengerusi Asian mengenai rayuan 28 keluarga mangsa perdagangan manusia untuk meminta menyelamatkan anak mereka yang masih lagi terperangkap di Pusat Scam Myanmar, Cambodia kepada Setiausaha Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat didi Wisma Putra Putrajaya. 30hb Mei 2025 (Jumaat)

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 — Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyeru agar Malaysia memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperjuangkan isu pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan di rantau Asia Tenggara.

MHO, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak 2016 dan aktif dalam memperjuangkan hak asasi manusia serta bantuan kemanusiaan, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Seri atas pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan MHO, pelantikan tersebut bukan sahaja mencerminkan keyakinan tinggi negara-negara anggota ASEAN terhadap Malaysia, malah membuka ruang penting untuk memperkukuh agenda kemanusiaan sejagat.

Menurut MHO, pihaknya menerima semakin banyak aduan melibatkan kes pemerdagangan manusia, khususnya rakyat Malaysia yang diculik dan diperdaya sebelum dibawa keluar negara ke destinasi seperti Kemboja, Laos dan Myanmar. Mangsa dilaporkan dipaksa bekerja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan, dikurung, didera secara fizikal dan mental, malah ada yang dijadikan buruh paksa di pusat-pusat penipuan dikenali sebagai “scam centres”.

Sehubungan itu, MHO mengemukakan beberapa cadangan utama kepada YAB Dato’ Seri bagi dipertimbangkan dan diketengahkan di peringkat ASEAN, antaranya:

Penubuhan Pasukan Tindakan Khas Serantau ASEAN, bagi menyelaras siasatan, usaha menyelamat dan pemulangan mangsa pemerdagangan manusia.

Memperkukuh perjanjian dan protokol ASEAN sedia ada, termasuk kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan serta pertukaran maklumat antara negara anggota.

Tindakan diplomatik yang lebih agresif, bagi membela nasib rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara akibat jenayah ini.

Penutupan semua pusat penipuan yang dikenal pasti, sebagai langkah penting menjamin keselamatan dan maruah rakyat serantau.

MHO turut menegaskan bahawa masih ramai rakyat Malaysia terperangkap dan dikurung tanpa peluang untuk diselamatkan, dan menyeru agar ASEAN menyatakan komitmen teguh dalam membantu membawa pulang semua mangsa dengan kadar segera.

“Pemerdagangan manusia adalah jenayah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mempunyai peluang keemasan untuk mengetuai usaha kolektif membanteras jenayah ini secara lebih menyeluruh dan efektif,” menurut kenyataan tersebut.

MHO yakin bahawa dengan kepimpinan tegas dan berwibawa YAB Dato’ Seri, ASEAN dapat melaksanakan inisiatif serantau yang berlandaskan prinsip keadilan, keselamatan dan hak asasi manusia, demi melindungi rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN daripada terus menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Tujuan surat ini dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mencadangkan agar peluang sebagai pemegang Pengerusi ASEAN Tahun 2025 digunakan bagi menangani isu pemerdagangan manusia secara lebih menyeluruh,” katanya.