Tengku Zafrul keluar Umno nak masuk PKR

Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO.

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.”

Beliau membuat pengumuman ini malam tadi menerusi laman media sosialnya.

“Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (Fuziah Salleh).

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat.”

Beliau turut mengakui bahawa keputusan tidak dicapai dengan mudah.

“Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari YAB Presiden sendiri. Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi.”

Dalam perkembangan berkaitan tempoh beliau sebagai senator akan tamat pada pertengahan Disember.

Pada bulan Disember lalu, Anwar mengesahkan terdapat perbincangan untuk Zafrul menyertai PKR namun ia tidak menjadi kenyataan ketika itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa partinya tidak menerima apa-apa secara rasmi dari Tengku Zafrul.

“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya,” katanya merujuk kepada PKR.

Beliau menambah tindakan Tengku Zafrul akan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi.