Zahid Hamidi sahkan UMNO telah terima surat Zafrul

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa partinya telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pengesahan ini sekaligus menamatkan ketidaktentuan sejak malam tadi ekoran kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa tidak menerima surat tersebut meskipun Zafrul telah membuat pengumuman secara terbuka menerusi media sosial.

“Semalam ketika kita periksa, tak ada. Tapi pagi ini, bila diperiksa semula surat tersebut telah dihantar kepada (Setiausaha Eksekutif UMNO Datuk) Mohd Sumali (Reduan).

“Kita menerima surat peletakan jawatan dan notis penamatan keahlian UMNO,” kata Zahid kepada media seusai menghadiri Sambutan Pra- Gawai anjuran RISDA Sarawak di Kuching.

Zafrul telah mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua Bahagian UMNO Kota Raja dan ahli UMNO semalam.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung PKR menyatakan bahawa pihaknya belum menerima permohonan keahlian secara rasmi dari Tengku Zafrul.