Kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI, apa kata PM Anwar?
Perdana Menteri memaklumkan kedudukan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak terjejas walapun beliau mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teknokrat berkenaan telah memainkan peranan penting dalam menarik kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion kepada negara.
“Dalam soal kedudukan Menteri, itu tak terjejas. Kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi beliau sebagai menteri pelaburan baik dan negara memerlukan sumbangan beliau,” katanya.
Menteri Kewangan berkenaan berkata demikian ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Peletakan jawatan
Kelmarin, Tengku Zafrul mengesahkan beliau meletak jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO, dengan surat peletakan jawatan itu sudah dihantar kepada pimpinan parti.
Beliau turut dilapor mengesahkan sudah menyatakan hasrat menyertai PKR, kepada Anwar yang juga Presiden PKR dan Setiausaha Agung parti itu, Dr Fuziah Salleh.
Semalam, Tengku Zafrul ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum berlepas ke Tanah Suci berkata, tindakannya keluar daripada UMNO dan mahu menyertai PKR, adalah pilihan sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.
“Saya amat menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dan dalam memilih hala tuju politik saya.
“Terima kasih juga saya nak ucapkan sekali lagi kepada Presiden UMNO, rakan dan ahli UMNO yang banyak membantu saya, memberi sokongan serta dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO,” katanya.
Buat masa ini, Tengku Zafrul memohon kepada semua untuk memberi beliau ruang untuk tumpuan kepada ibadah haji.
“Saya mohon doakan supaya segala urusan saya dan isteri serta keluarga saya dipermudahkan di sana,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA Baucar buku diperluas kepada lebih 400,000 guru – PM Anwar