Ini sebabnya menteri pertegas pertanian bukan kerja orang kampung
Memorandum persefahaman (MoU) antara beberapa syarikat dari Malaysia dan Jepun membabitkan nilai lebih AS$6 juta (RM25.5 juta) dimeterai pada Ekspo 2025 Osaka, hari ini.
Kerjasama dengan Jepun dalam sektor pertanian itu bukan hanya mampu menjana ekonomi, malah memperkukuhkan daya tahan sistem makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pertanian bukan kerja orang kampung semata-mata sebaliknya adalah masa depan negara.
“Ayuh kita terus berganding bahu baik kerajaan, swasta, petani dan rakyat, ke arah Malaysia MADANI yang berdaya tahan, berinovasi serta berkat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, Malaysia tampil di ekspo berkenaan dengan membawa semangat besar bahawa pertanian lestari bukan sekadar pilihan tetapi satu keperluan.
“Kita bayangkan, kalau suatu hari nanti petani hilang kerja, tanah pertanian dibiarkan, makanan jadi semakin sukar didapati… itulah amaran masa depan yang sedang menghampiri jika kita tidak bertindak sekarang,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia kini bergerak dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk memodenkan pertanian menggunakan teknologi seperti dron, Internet Benda (IoT) dan sistem pintar dari ladang ke bandar.
“Bahkan, Tongkat Ali pun kita naikkan nilai tambahnya menjadi produk kesihatan premium,” katanya.
Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan disokong melalui pendekatan kerajaan secara menyeluruh membabitkan 21 kementerian dan 70 agensi.
Tujuh sektor strategik diberi perhatian iaitu pertanian lestari, tenaga boleh baharu (TBB), kehidupan pintar, pembuatan hijau, reformasi industri, pengurusan alam sekitar dan industri halal.
BACA JUGA Boleh pula dia gembira ‘masuk neraka’