Program pensijilan CCISO diperkenalkan khas untuk kementerian, agensi kerajaan
Kementerian Digital menerusi Cybersecurity Malaysia melancarkan Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber – Pensijilan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (Certified Chief Information Security Officer – CCISO) khusus untuk pegawai kementerian dan agensi kerajaan.
Pensijilan ini adalah selaras dengan Akta Keselamatan Siber 2024.
Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam ucapannya menyatakan bahawa program pensijilan ini meliputi domain utama seperti berikut:
Domain 1, memberi fokus kepada aspek tadbir urus, pengurusan risiko serta pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan piawaian industri;
Domain 2, melibatkan pelaksanaan kawalan keselamatan maklumat serta pengurusan audit secara berkala dan sistematik;
Domain 3, merangkumi pengurusan program keselamatan dan operasi harian organisasi;
Domain 4, memberi fokus kepada kemahiran teknikal teras dan strategi perlindungan data. Manakala;
Domain 5, melibatkan perancangan strategik, pengurusan kewangan dan perolehan, serta kawalan terhadap pihak ketiga yang berurusan dengan organisasi.
Beliau turut menggariskan peranan yang akan dimainkan oleh CISO.
“Di samping aspek kawal selia dan pelaksanaan, CISO turut berperanan sebagai pemacu transformasi budaya keselamatan dalam organisasi,” kata Gobind semasa pelancaran CCISO di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
“Ini termasuk membangunkan keupayaan warga kerja melalui latihan dan pensijilan berterusan, serta memastikan sistem dan teknologi yang digunapakai mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Pada masa yang sama, CISO juga berfungsi sebagai penghubung strategik antara kerajaan, industri, penyedia teknologi dan komuniti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Kejayaan pelaksanaan Akta 854 bergantung kepada kewibawaan CISO sebagai pemimpin yang cekap, berkeupayaan menangani krisis dengan pantas, dan mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keselamatan digital negara,”