Terperdaya tawaran haji visa mujamalah, ini nasib 80 jemaah di KLIA

Walaupun kerajaan sudah berulang kali mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran haji Visa Mujamalah, bukan sedikit yang terus menjadi mangsa penipuan sesetengah ejen tidak bertanggungjawab.

Semalam, kira-kira 80 individu yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah haji dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik Utusan Malaysia, mereka terbabit ditahan pasukan petugas khas berikutan menggunakan visa pelancong bagi menunaikan haji.

Kumpulan itu mendakwa mereka dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci tetapi disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa tersebut tidak dapat dikeluarkan.

Menurut penasihat undang-undang yang juga aktivis Mind Pro Management, Ena Ewil, berdasarkan siasatan awal pihaknya, jemaah berkenaan kemudiannya diberikan visa pelancong.

Jelasnya, pihak agensi pelancongan yang terbabit tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong.

Beliau turut memberitahu berdasarkan maklumat awal, wakil syarikat turut ditahan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, kerajaan sudah berulang kali memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang tiada visa haji daripada kerajaan Arab Saudi supaya tidak melakukan ibadah itu di tanah suci di Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mengelak negara berisiko hilang kuota haji pada masa depan, termasuk digantung visa oleh kerajaan Arab Saudi.

BACA JUGA Boleh pula dia gembira ‘masuk neraka’