‘MB Kedah, MB Kelantan pun patut cuti berehatlah tempoh hari’
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menempelak Pemuda Pas yang mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercuti sementara prosiding saman sivilnya selesai.
Menurutnya, jika logik sama digunakan maka Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor dan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud juga seharusnya bercuti ketika berdepan kes saman serta pertuduhan di mahkamah sebelum ini.
Beliau menyifatkan hujah Afnan sebagai hujah culas dan malas termasuk apabila disebut supaya perbicaraan dapat dijalankan “tanpa sebarang campur tangan eksekutif”.
“Ini adalah satu kenyataan yang bahaya dan tidak bertanggungjawab, menggambarkan seolah-olah wujud campur tangan eksekutif dalam pentadbiran kehakiman.
“Faktanya, keputusan Mahkamah Tinggi semalam adalah bukti jelas bahawa tidak wujud sebarang campur tangan dalam menentukan keputusan permohonan tersebut.
“Hakim bebas membuat penilaian berdasarkan hujah pihak-pihak di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendesak Anwar mengambil cuti sementara kes berjalan, dengan tempatnya dipangku salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, kerajaan Madani terbukti menjunjung tinggi prinsip pengasingan kuasa termasuk kebebasan institusi kehakiman yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
“Keupayaan Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya sebagai Ketua Eksekutif harus dinilai dari prestasi, bukan kebencian politik seperti yang diamalkan oleh Pas,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Isu LPG bersubsidi: Kabinet setuju pinda peraturan kawalan bekalan