Ramai rupanya masih keliru, Makcik Kiah tak perlu pun guna tong gas purple
Peniaga kecil seperti Makcik Kiah tidak perlu berasa gusar mengenai penggunaan tong gas bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh menegaskan bahawa golongan peniaga kecil masih layak menggunakan tong gas berwarna hijau yang menerima subsidi kerajaan.
“Masih ada yang keliru, jadi biar saya jelaskan dengan mudah. Peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh guna tong gas hijau (subsidi).
“Syaratnya, tidak lebih daripada tiga tong gas 14kg pada satu masa,” katanya menerusi satu respon di media sosial, semalam.
Ini bermakna, ujar beliau, peniaga seperti Makcik Kiah yang menggunakan satu tong untuk goreng pisang, satu untuk memasak mee, dan satu lagi untuk menyediakan minuman, masih dianggap layak menggunakan tong gas bersubsidi berwarna hijau.
“Tak perlu tukar ke tong ‘purple’,” tegas Fuziah.
Menurutnya lagi, tong gas “purple” yang tidak disubsidi hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya.
“Jadi, janganlah kita takut-takutkan rakyat dengan info kurang tepat. Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak dan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana,” tambahnya.
Penjelasan ini hadir susulan kekeliruan dalam kalangan peniaga yang bimbang mereka akan kehilangan akses kepada subsidi gas memasak selepas pelaksanaan pengasingan tong gas bersubsidi dan tidak bersubsidi.
BACA JUGA PERKESO selamatkan RM61 juta daripada penipuan faedah, dedah menteri