65 ekor lembu disumbang kepada komuniti Parlimen Bandar Tun Razak

FB Live… Majlis Perasmian Penyerahan Sumbangan 65 Ekor Lembu Korban Aidiladha oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail Ahli Parlimen Banar Tun Razak. Turut hadir YBhg Datuk Azman Abidin Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri di Masjid Zaid Thabit Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. 5hb Jun 2025 (Khamis)

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah mengajak semua hadirin untuk merenung semula makna sebenar pengorbanan dalam konteks ibadah korban yang disyariatkan dalam Islam, berpaksikan kisah agung Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS.

Peristiwa ini bukan sekadar sirah, tetapi satu pengajaran mendalam tentang iman, ketaqwaan, serta keikhlasan dalam beribadah,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan bahawa ibadah korban bukan hanya satu bentuk pengabdian diri kepada Allah SWT, tetapi juga satu bentuk keprihatinan sosial. Dengan pengagihan daging korban kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan, masyarakat diajak menyemai sikap empati dan berkongsi nikmat rezeki.

“Harta yang dikurniakan kepada kita bukan hak mutlak kita semata-mata – padanya ada hak orang lain,” tambah beliau, menyentuh keperluan menyucikan harta melalui amalan seperti zakat, infaq, sedekah dan korban”

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah menaja sebanyak 65 ekor lembu korban, satu jumlah yang besar dan mampu memberi manfaat kepada ramai penduduk di kawasan Bandar Tun Razak dan sekitarnya.

“Semoga setiap pengorbanan dan amalan yang dilakukan hari ini diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh dan menjadi bekalan yang berharga buat kita semua di dunia dan di akhirat,” kata beliau menutup ucapannya.

Bagi YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri yang turut hadir menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meneruskan agenda kebajikan rakyat menerusi program-program sosial dan keagamaan yang menyentuh keperluan asas masyarakat.

“Program seperti ini bukan sekadar melibatkan ibadah korban semata-mata, tetapi juga satu bentuk sokongan langsung kepada golongan memerlukan. Ia mencerminkan prinsip keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kesejahteraan rakyat di semua peringkat,” ujar beliau.

Menurut Datuk Azman, penyerahan sebanyak 65 ekor lembu korban kepada penduduk di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk individu dan badan-badan yang prihatin terhadap nasib masyarakat berpendapatan rendah.

“Kita mahu pastikan bahawa tidak ada rakyat yang merasa terpinggir ketika hari-hari besar seperti Aidiladha. Program sebegini adalah bukti nyata bahawa kita mendahulukan rakyat,” tambah beliau.

Majlis perasmian disusuli dengan penyerahan simbolik lembu korban kepada wakil-wakil kariah serta wakil penerima, sebelum diteruskan dengan sesi ramah mesra dan jamuan ringan.

Program ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan nilai kebersamaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Bandar Tun Razak, selaras dengan semangat Aidiladha yang penuh berkat