Payung Besar Mahathir, nafsu orang tua tetapi tidak mampu
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan ‘Payung Besar Melayu’ adalah taktik lama bertujuan melemahkan serta membunuh UMNO dari dalam.
Menurut beliau, gerakan baharu itu adalah helah halus bagi memecah-belahkan ahli UMNO walaupun secara luaran kononnya membawa aspirasi penyatuan orang Melayu.
“Tun M sekali lagi mahu menipu orang UMNO. Dia menubuhkan ‘Payung Besar Melayu’.
“Dia hanya jemput ahli UMNO tetapi tolak parti UMNO. Dia tahu UMNO tidak akan masuk lubang biawak kali kedua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Puad mendakwa, walaupun Tun Mahathir menjemput ahli UMNO untuk menyertai gagasan tersebut, namun tindakan itu sebenarnya dirancang agar mereka menjauhkan diri daripada parti sendiri tanpa keluar secara rasmi.
“Itu jarum halus untuk bunuh UMNO. Maksudnya, sokong kami, tidak perlu keluar UMNO tetapi jangan beri undi kepada UMNO,” ujarnya.
Tambah beliau, sejarah telah menunjukkan bahawa mana-mana gabungan politik yang dibina berasaskan kepentingan peribadi atau dendam politik tidak akan bertahan lama kerana tiada kejujuran dalam perjuangan.
“Tun M tahu dia tidak akan berjaya. Payung itu dokongan parti politik. Bila asasnya politik akan ada tikam belakang sesama sendiri,” katanya lagi.
Beliau turut merujuk kepada insiden “Langkah Sheraton” serta penganjuran Kongres Maruah Melayu dan Piagam Muafakat Nasional pada tahun 2019 sebagai contoh gagasan politik yang gagal.
“Semasa PH 1.0 sudah ada Kongres Maruah Melayu (2019) yang ditaja oleh Tun M. Ada Piagam Muafakat Nasional (2019).
“Tetapi gagal kerana asasnya politik. Maka Payung Besar Melayu sama saja. Nafsu orang tua. Bernafsu tapi tidak mampu,” katanya.
BACA JUGA Mahkamah perintah akaun bank Bersatu berjumlah RM195 juta kekal dibekukan