‘Kita beri kerjasama agar pertikaian Kemboja-Thailand selesai’
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia sedia memberi kerjasama kepada Kemboja dan Thailand selaku pengerusi ASEAN untuk mengatasi isu pertikaian sempadan melibatkan dua negara tersebut.
“Mengenai Kemboja dan Thailand, saya (sudah) bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka telah mengambil beberapa langkah yang kita sokong.
“Langkah berkenaan ialah rundingan mengenai sempadan Kemboja-Thailand, pada 14 Jun ini.
“Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama yang diperlukan. Setakat ini kedua-dua kerajaan mengambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya pada sidang media seusai menunaikan solat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya.
Pertikaian sempadan tercetus selepas seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran singkat dengan tentera Thailand di Preah Vihear pada 28 Mei.
Thailand sudah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani kebimbangan keselamatan di sempadannya dengan Kemboja.