Pelik bin ajaib, MIPP pula yang sokong ide Dr Mahathir

Pelik bin ajaib. Itulah yang dirasai apabila pihak yang tidak berkaitan menyokong sesuatu yang tidak berkaitan dengan mereka.

Pada masa yang sama, mereka sendiri tidak melakukan apa – apa yang bermakna untuk masyarakat yang mereka wakili.

Ya, kita berbicara berkenaan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) yang meyokong penuh idea payung besar menerusi penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu.

Ide sekretariat ini dibawa oleh mantan perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan semalam presiden MIPP P Punithan berkata partinya menyokong di atas dasar perpaduan.

“Kami mengemukakan soalan yang jujur: Mengapa takut perpaduan?

“Perpaduan bukan ancaman tetapi asas kestabilan politik. Untuk Malaysia makmur, kestabilan dalam tadbir urus mesti kekal diutamakan.

“Apabila seorang negarawan kanan seperti Dr Mahathir Mohamad menyeru kepada perpaduan dalam masyarakatnya, dia menunaikan tanggungjawab—bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada seluruh negara,” katanya sambil menambah perpaduan Melayu dari segi politik dapat membawa kepada kepimpinan negara yang stabil.

“Kestabilan politik tidak boleh timbul daripada tawar-menawar yang berterusan atau pakatan yang beralih didorong semata-mata oleh perebutan kuasa. Ia mesti muncul daripada mandat yang jelas, kepimpinan yang dipercayai dan perwakilan yang koheren bagi setiap komuniti dalam gabungan yang seimbang.

“Kekuatannya yang kekal terletak pada jalinan perpaduannya yang unik, dengan orang Melayu membentuk majoriti. Bagi mana-mana negara berbilang kaum untuk mencapai keamanan dan kemakmuran, perpaduan dalam komuniti majoritinya adalah penting,” katanya lagi.

MIPP turut mengajak masyarakat India bersatu-padu di bawah inisiatif yang dipanggil RESET 2027.

Pelik bin ajaib kerana ide Mahathir telah pun ditolak mentah-mentah oleh Umno. Hanya parti komponen Perikatan Nasional – Pas dan Bersatu yang bersekedudukan demi tujuan politik yang belum mereka umumkan.

Sebelum ini pihak – pihak tertentu telah mengulas panjang lebar bagaimana tindak-tanduk Mahathir menyumbang kepada perpecahan dan penubuhan parti politik baharu. Tidak perlu ia diulangi di sini.

Pokok pangkalnya ada dua isu yang dibangkitkan oleh MIPP – perpaduan dan kestabilan politik.

Negara Malaysia masih mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Institusi Raja-Raja Melayu sudah memadai untuk perpaduan negara ini.

Ia sesuatu yang tidak dapat dicapai secara mutlak oleh parti – parti politik.

Sejarah telahpun membuktikannya.

Di manakah Muafakat Nasional hari ini? Ia ditunjangi oleh Pas.

Apakah Malaysia sekarang berdepan ketidakstabilan politik sepertimana yang berlaku di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Tidak sama sekali.

Tiada Langkah Sheraton.

Pihak yang melalak bahawa mereka sudah cukup jumlah pun hanya melalak kerana realiti politik adalah sebaliknya.

Mungkin sahaja MIPP perlu mendampingi I dan bukannya Mahathir untuk bergerak ke hadapan.

Hingga kini RESET 2027 hanya kekal sebagai himpunan idea yang tidak menjadi kenyataan.