Tiada kerajaan campuran di Johor, Marina ingatkan PKR
PKR Johor Bahru telah diberi peringatan bahawa kerajaan campuran tidak wujud di Johor.
Ini kerana BN telah memenangi majoriti dua per tiga di dalam pilihan raya negeri.
Pakatan Harapan pula memainkan peranan pengimbang dengan kelebihan tertentu.
“Semenjak dari awal lagi,tiada istilah Kerajaan Campuran di negeri Johor. Isu tuntutan ni dah dibahaskan berkali dan kita menghormati keputusan iaitu “BARISAN NASIONAL MENANG 2/3 KERUSI KETIKA PILIHANRAYA NEGERI JOHOR SEBELUM PILIHAN RAYA UMUM”,” kata Adun Skudai Marina Ibrahim.
“Adun Pakatan Harapan di Negeri Johor merupakan PENGIMBANG di dalam dewan negeri yang mana hakikatnya kita duduk di sebelah pembangkang di dalam dewan.
Beliau berkata demikian ekoran bantahan PKR Johor Bahru terhadap pelantikan ketua masyarakat Cina / Kampung Baru bagi penggal 2025-2027.
Ini kerana pelantikan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada MCA dan tidak melibatkan wakil-wakil Pakatan Harapan.
“Wujudkah benar-benar sebuah kerajaan campuran di Johor? Hakikat sebuah kerajaan campuran adalah pentadbiran bersama, saling menghormati, dan perwakilan yang adil.
“Pelantikan ini, yang dibuat tanpa perundingan atau penglibatan Pakatan Harapan, jelas bertentangan dengan semangat perpaduan yang menjadi asas kerajaan persekutuan kita,” kata naib ketua cabang PKR Johor Bahru Gerald Tang Mun Hon.
“Kami menuntut penjelasan yang jelas dan pertimbangan semula segera terhadap senarai pelantikan ini. Rakyat Johor Bahru, khususnya komuniti Cina dan penduduk Kampung Baru, berhak mendapat pemimpin masyarakat yang dilantik melalui proses yang telus serta mencerminkan kepelbagaian dan kehendak rakyat.
“Kami bersedia untuk berkhidmat dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Namun, pengabaian kami dalam proses pelantikan penting ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan kami dalam kerajaan campuran, tetapi juga kepercayaan penyokong akar umbi kami.
Marina yang juga AJK DAP Johor turut menyenaraikan perbezaan Adun pengimbang dan Adun pembangkang.
“Kawasan pembangkang diletakan penyelaras DUN, tetapi kawasan pengimbang tidak.
“Adun pengimbang diberikan kebenaran untuk hadir di dalam mesyuarat seperti JTPD, MTD, dan segala mesyuarat bagi kepentingan kawasan.
“Kita dijemput dan dibenarkan menyumbangkan idea dan suara dalam pelbagai mesyuarat bagi kepentingan rakyat Johor dalam pelaksanaan pelbagai program bersama agensi
“Kita sentiasa dijemput dalam program, atau pelancaran bersama pihak agensi mahupun Kerajaan Negeri.
“Ini bermaksud penglibatan kita tidak diketepikan sebagai pengimbang.”