Tiada wakil pekerja di Persidangan Buruh Antarabangsa? Bukan salah Kementerian Sumber Manusia
Kementerian Sumber Manusia menjelaskan ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 di Geneva, Switzerland adalah disebabkan oleh ketiadaan barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan bukannya usaha kerajaan untuk menyekat penyertaan wakil pekerja.
“Pada 21 Februari 2025, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan agar MTUC menjalankan pemilihan semula kepimpinan mereka dalam tempoh 90 hari yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).
“Pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025 dan menyebabkan MTUC tidak mempunyai kepimpinan yang sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC,” kata kementerian dalam satu kenyataan media.
MTUC ialah organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia.
MTUC telah mengalami krisis kepimpinan dan diarahkan menjalankan pemilihan semula kepimpinan.
Walau bagaimanapun pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada Mei telah ditangguhkan ke 10 Ogos.
“JBK telah ditubuhkan khusus untuk mengendalikan pemilihan semula MTUC dan tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan nama bagi mewakili pekerja ke forum antarabangsa.
“Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC.
“KESUMA menegaskan bahawa pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus berpandukan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta telah mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai status semasa MTUC.
“Justeru, sebarang dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.”
BACA JUGA: Tengku Zafrul akan bertanding di Ampang?