Ini gambar depan hotel di Madinah, bukan di Mekah, kata Nurul Izzah kepada pemfitnah
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, gambar beliau bersama suaminya di depan sebuah hotel bukannya di Mekah tetapi Madinah.
“Gambar pertama semasa pertemuan bersama saudara Muneeb di Madinah, bukan di Makkah,” jelas Izzah menerusi facebook beliau hari ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada satu posting kononnya beliau menginap di hotel berharga mahal sehingga menelan belanja RM200,000 seorang jemaah haji.
Pemfitnah itu mendakwa, Nurul Izzah dan suaminya tinggal di Dar Al Tawhid Intercontinenal, hotel paling mewah di Mekah.
Padahal Izzah dan suaminya tinggal di hotel berkenaan di Madinah, yang harganya tidak semewah hotel berkenaan di Makah.
“Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya.
“Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan,” kata Izzah dalam postingnya hari ini.
Izzah bersama suaminya, Yin Shao Loong, menunaikan haji tahun ini selepas pemilihan PKR yang kecoh baru-baru ini.
“Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah.
“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel.
“Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
“Tiada jet peribadi seperti yang di fitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah Haji yang lain,” kata Izzah.
Di Madinah, mereka sempat menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt, dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin – suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.
Paling bermakna, katanya, dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
“Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, jangan lah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” katanya.
BACA JUGA ‘Anwar sudah beri RM600 setiap bulan’, sikap warga emas ini dipuji