Lebih 70 terbunuh, ratusan lagi cedera serangan di Gaza hari kedua Aidiladha
Genosid berterusan di Gaza menyaksikan tentera Israel telah membunuh lebih 70 rakyat Palestin di seluruh wilayah terkepung itu manakala kira-kira 100 lagi cedera pada hari kedua Aidiladha.
Memetik AlJazeera, mangsa termasuk 16 orang dalam serangan ke atas sebuah rumah di kejiranan Sabra di Bandaraya Gaza.
Quds News Network pula berkongsikan kejahatan Israel terhadap seorang kanak-kanak perempuan, Mais Abdel Aal yang berusia 10 tahun.

Sebuah dron Israel dilapor menembak kepala budak berkenaan semasa dia bermain di khemah keluarganya.
Akibatnya, Mais mengalami kecederaan teruk dan kerosakan saraf sehingga menyebabkannya separa lumpuh selain kehilangan penglihatan.
Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Israel dan Amerika Syarikat (AS) mendakwa, ia kononnya tidak dapat mengagihkan bantuan kerana Hamas telah mengeluarkan “ancaman langsung” terhadap operasinya.
Pengganas Israel pula mendakwa telah menemui mayat Natthapong Pintaho, seorang warga Thailand yang ditawan semasa serangan pimpinan Hamas pada 7 Oktober 2023, dan ditahan di Gaza.
Sementara itu, sebuah bot bantuan dengan 12 aktivis di dalamnya, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, sedang menghampiri Gaza dalam usaha untuk mencabar sekatan Israel di wilayah terkepung itu.
Hamas telah mengesahkan bahawa setiausaha agung pergerakan Mujahidin, Sheikh Asaad Abu Sharia, syahid dalam serangan Israel ke atas kejiranan Sabra di Bandaraya Gaza.
BACA JUGA Hadi Awang akan berundur? Pas salahkan laporan media