Sah 15 pelajar terkorban, hantaran Facebook ‘UPSI berduka’ runtun hati

Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi ini, mencetuskan suasana hiba di seluruh negara.

Hantaran Facebook ‘UPSI Berduka’ yang dimuat naik laman rasmi universiti itu meruntun hati ramai.

“Semoga dipermudahkan segala urusan buat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini,” demikian hantaran dibuat laman FB Naib Canselor UPSI.

Kapsyen pendek itu dihujani ribuan komen warga maya yang turut berduka dan mengucapkan salam takziah.

Terdahulu UPSI dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan telah menerima laporan awal mengenai kemalangan jalan raya membabitkan puluhan pelajarnya.

Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara tersebut.

“Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan,” ujar kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat.

Info setakat ini yang diterima media, 13 orang meninggal dunia di lokasi, 2 meninggal dunia di Hospital Gerik, 7 dirawat di zon merah, 20 orang di zon kuning dan 6 lagi di zon hijau.