‘Saya rujuk A, beliau jawab Z’ – Armizan balas sinis Ka Siong silap rujuk undang-undang
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegur Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana didakwa membuat rujukan undang-undang yang salah berhubung isu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.
Armizan menjelaskan beliau dalam sidang media pada 5 Jun lalu telah merujuk dengan tepat kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 atau PPKB (Pindaan) 2021, dan bukannya Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652) seperti yang dihujahkan oleh Presiden MCA.
“Saya harap Presiden MCA tidak cepat koyak bila saya petik nama DAP hingga tersilap rujuk undang-undang,” katanya sinis.
Armizan menambah, kenyataan media yang diedarkan pada sidang media itu juga menyatakan secara jelas rujukan kepada PPKB (Pindaan) 2021.
“Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z,” katanya lagi.
Walaupun begitu, Armizan turut mengucapkan tahniah kepada Ka Siong kerana kini dilihat lebih cakna terhadap isu rakyat dalam kedudukannya sebagai pembangkang berbanding ketika beliau memegang jawatan dalam Kabinet sebelum ini.
Jelas Armizan, PPKB (Pindaan) 2021 telah digubal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika itu, dikuatkuasakan pada 15 Oktober 2021, dan telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan yang boleh diakses orang ramai.
“Saya fikir kiranya aura ‘jurucakap rakyat’ itu muncul lebih awal ketika beliau menjadi Menteri, beliau dan partinya pasti akan membuat bantahan lebih awal pada tahun 2021 dan bukannya tahun 2025,” ujarnya.
Mengulas dakwaan bahawa beliau memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud, Armizan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.
“Saya tidak kisah Presiden MCA tuduh saya bohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut.
“Ya benar saya Ahli Parlimen penggal pertama, dan Presiden MCA sudah berpenggal-penggal di Dewan Rakyat dan lama sebagai Anggota Pentadbiran. Memang lebih jauh berpengalaman.”
Namun, beliau menegaskan bahawa walaupun masih baharu dalam politik, beliau tetap berpegang kepada punca kuasa yang sah dan tidak akan mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
“Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukan cerminan kepada saratnya pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang sempat saya kenali dahulu,” katanya.
BACA JUGA Ini empat sebab utama Petronas berhentikan 10 peratus tenaga kerjanya